Sabtu, 19 Disember 2015

Awal Bismillah

Setelah sekian lama dianjurkan agar kita menulis blog bagi mengabadikan pandangan terhadap pelbagai perkara terutamanya soal siasah dan masyarakat, tergerak hati kita memulakan usaha demikian pada hari ini, Sabtu 19hb Disember 2015 bersamaan 7hb Rabiul Awal 1437H.

Diharapkan blog ini dapat juga memperlihatkan hati budi kita dalam kita menyentuh perkara-perkara yang kita rasakan perlu diutarakan.

Tajuk blog ini - "Nusantara Benteng Terakhir" - datang secara semulajadi tanpa kita memerah benak memikirkannya. Ini kerana rumusan tersebut telah tercetus beberapa tahun lalu; sekitar tahun 2011. Waktu itu, kita telah menjerumus masuk ke dalam gelanggang siasah di Singapura dengan menampilkan diri sebagai calon pilihanraya umum.

Seiringan dengan penceburan kita dalam dunia politik adalah pengembangan alam internet terutamanya media masyarakat. Berita-berita terkini boleh disampaikan dengan begitu cepat dalam talian dan seringkali tanpa penapisan. Ilmu pengetahuan dapat dicedok dengan mudah dan percambahannya begitu mendadak. Perkara-perkara lama dapat dilihat dari sudut baharu. Khabar-khabar angin dapat ditentukan dalam masa yang singkat. Semakin terbongkar fitnah-fitnah lampau, semakin perlu  pandangan baharu lagi berani.

Berkurun lamanya kita-kita dilekakan dan hampir terjerumus ke lembah yang malang. Manusia merancang tetapi Tuhan jua yang menentukan, Yang Maha Esa semakin menampakkan bahawa seyogia, Nusantara merupakan benteng terakhir dan Melayu itu tidak akan hilang di dunia kerana kita-kita diperlukan menjaga benteng yang paling akhir ini.